Sunday 8 May 2011

Pemuda hari Ini...

Pemuda hari ini: Singa yang dijinakkan



Pemuda adalah rahsia bagi setiap kebangkitan umat yang dahagakan perubahan. Mereka di peringkat ini digelar oleh ulama silam sebagai Fasa Jununiyah (Fatrah Orang Gila). Mereka gemar melakukan perkara yang berlawanan dengan arus perdana. Mereka tidak suka dikongkong atau ditahan daripada mencapai cita-cita mereka. Mana-mana kuasa yang cuba menghalang kemaraan mereka pasti akan tumbang dek kerana kuatnya arus deras yang dibawa golongan ini
Adolf Hitler – Berusia 32 tahun ketika mula memimpin Parti Nazi Jerman pada tahun 1921. Mencapai kemuncak kuasa sebagai Canselor Jerman pada usia 44 tahun apabila partinya menang besar dalam Pilihanraya Jerman tahun 1933.

Islam memandang berat fasa ini dalam kehidupan seorang manusia. Oleh sebab itu, pemuda pada usia begini perlu dihalakan ke tempat yang betul. Allah sendiri memuji pemuda:
“Allah mengagumi pemuda yang tiada pada dirinya as-sobwah (penyelewengan)” (Riwayat Imam Ahmad)

Namun, musuh-musuh Allah sudah pasti mengetahui bahaya golongan ini. Maka, mereka pun berjaya menjinakkan singa-singa ini sehingga hilang taringnya. Jadilah mereka sekarang seperti kijang-kijang pengecut.
Fenomena tunggu dan buat adalah antara penyakit yang melanda generasi muda pendakwah pada hari ini. Satu golongan pemuda lebih gemar berdakwah di depan komputer daripada keluar untuk berjumpa manusia. Mereka hanya bersemangat ketika program dan sejuk selepas tasbih kifarah dan Surah al-Asr. Kemudian menunggu dengan penuh setia program seterusnya bila akan diadakan.

Satu lagi golongan pemuda pula, mereka menganggap seolah-olah saf pendakwah ini mesti sempurna baru dakwah dan tarbiyah boleh berjalan. Mereka hanya tahu mengkritik dan menunggu perubahan itu datang ke riba. Mungkin kita terlupa pesanan as-Syahid Hasan al-Banna: “Barangsiapa yang mencadang, maka dialah yang perlu laksanakan”.
“Sesungguhnya, sebuah fikrah akan meraih kejayaan apabila keimanan kepadanya kuat, tersedia keikhlasan di jalannya, semangat untuk memperjuangkannya semakin bertambah dan ada kesiapan untuk berkorban serta beramal dalam mewujudkannya. Keempat rukun ini yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter pemuda. Sebab sesungguhnya dasar keimanan adalah hati yang cerdas, dasar keikhlasan adalah nurani yang jernih, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah kemahuan yang kuat. Dan itu semua itu tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda.” (Hasan al-Banna, Majmuk Rasail)

Seorang khadam bagi dakwah ini akan sentiasa memiliki kemahuan yang tinggi dan tidak pernah padam. Setiap hari dia akan berfikir supaya cahaya Allah ini sampai kepada manusia di luar sana. Lantas dia keluar dari rumahnya, tanpa perlu menunggu arahan untuk dia keluar berdakwah. Bahkan dia sendiri akan berkreatif dengan mencuba pelbagai cara untuk mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t:

“Tuhanku, sesungguhnya aku berdakwah kepada kaumku siang dan malam. Tetapi seruanku itu tidak menambah iman mereka justeru mereka lari dari kebenaran.” (Nuh: 5-6)
“Lalu aku menyeru mereka secara terang-terangan. Kemudian aku seru mereka secara terbuka dan diam-diam.” (Nuh: 8-9)


Lalu akhirnya, dia menjadi seorang pendakwah yang benar-benar mengesani masyarakat. Dia terkehadapan di rumahnya, pelajarannya, kerjayanya dan keluarganya. Di mana-mana dia bergerak akan berjalan bersamanya fikrah yang dibawa. Dirinya adalah cerminan kepada apa yang didokongnya, Islam yang mulia. Saidatina Aishah apabila ditanya tentang peribadi Rasulullah s.a.w, jawapannya: “Dia adalah al-Quran yang berjalan.”

Kesusahan yang dilalui pemuda untuk melengkapkan diri menjadi pendakwah Islam akan dilalui tanpa banyak persoalan dan alasan. Alasan bagi dirinya adalah istilah bagi orang-orang lemah. Semangat Muhajirin di Mekah akan sentiasa membakar tubuhnya untuk terus menerima tarbiah. Kenapa? Kerana kemahuan dalam dirinya tidak pernah padam.

Saya teringat kisah burung hud-hud yang disebut secara terang lagi nyata di dalam al-Quran. Cahaya kemahuan yang meluap-luap di dalam dirinya telah mendorongnya untuk keluar dari perbarisan Nabi Sulaiman a.s bagi mendapatkan khabar tentang suatu kaum yang tidak bertuhankan Allah yang Esa.

Saya teringat tindakan segera Abu Bakar r.a mengajak enam orang sahabatnya untuk memeluk Islam padahal beliau baru sahaja melafazkan kalimah syahadah.

Saya teringat peribadi Umar Al-Khattab yang sentiasa bertanya dan mempelajari Islam dan dakwah daripada Rasulullah s.a.w atas inisatif beliau sendiri tanpa baginda sendiri meminta beliau berbuat demikian.

Saya teringat pada sang burung kecil yang cuba memadamkan api besar yang membakar tubuh Ibrahim a.s dengan paruhnya yang kecil. Ketika diketawakan tindakannya itu, dia menjawab: “Sesungguhnya aku berlepas diri ya Allah dari tindakan-Mu ke atas kami”.

Saya teringat Mus’ab b. Umair yang hanya berbekalkan beberapa potong ayat al-Quran yang belum sempurna penurunannya, telah mengetuk setiap rumah di Madinah untuk menyebarkan Islam.

Facebook – Fenomena baru yang melanda dunia hari ini. Menurut kajian Nielson Media Research, pengguna Facebook menghabiskan masa lebih 7 jam sehari pada bulan Januari 2010.

Saya melihat jiwa dan roh kemahuan yang menyala-nyala ini semakin kelam jika kita tidak beringat dari sekarang. Firman Allah s.w.t dalam surah At-Taubah ayat 46:

“Dan jika mereka mahu berangkat, nescaya mereka akan membuat persiapan, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Dia melemahkan kemahuan mereka dan dikatakan kepada mereka: Tinggallah bersama orang-orang yang tinggal (lemah)”.

Apabila Sang Singa lupa dirinya dicipta untuk menyerang dan menerkam mangsanya.


Ustaz Izzuddin Selamat,
Ketua Perhubungan,
ISMA-Mesir Cawangan Mansurah

Sumber: Laman Web ISMA Mesir Cawangan Mansurah

No comments:

Post a Comment